Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki
dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan
akhirat. Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah. Mendirikan solat
tidak berlengah dengan aktiviti dunia. Allah tidak sia-siakan pengabdian
diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan
menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi
tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat
Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2.
Memperbanyak istighfar. Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa
seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan
kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan
si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka
Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa. Istighfar tidak
laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati
resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang
lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah. Banyak ingat Allah buatkan
hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah
beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan
hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya
dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5.
Berbakti dan mendoakan ibu bapa. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad,
Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan
ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan
menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa
berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan
memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan
al-Hakim). Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa
kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah )
daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan
menolong orang yang lemah Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak
yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki
melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain. Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah
lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda
Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan
menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat. Ada hadis
yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai
kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan
kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak. Ibnu Abbas
berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10.
Berpagi-pagi. Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan
aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan
yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim Nabi s.a.w. bersabda: “Barang
siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah
dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal
berwuduk Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta
pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh
Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan
bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah Sedekah mengundang
rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w.
bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza
wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan
baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam
(Tahajud) Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan
memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati
orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha Amalan
solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah Syukur ertinya
mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur
nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur,
nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu
kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah
at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap
kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika
diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang,
diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah
pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak
akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa Berdoa menjadikan
seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada
rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta
kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim) Bagi
orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan
halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.
Bertawakal Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya
dengan Allah . Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah ,
nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w.
bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia
pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.) Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa
kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam,
untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat
amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih
sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberian-Nya.
kredit: hanan.com.my Semoga mendapat
manfaat.